Wednesday, November 23, 2011

Polis, helmet, penunggang motosikal, saman dan Tuhan.

Pada suatu petang yang hiba, Rostam sedang bersiar-siar dengan menunggang motosikal di taman permainan berhampiran rumahnya. Tujuan beliau ialah untuk menenangkan fikiran beliau yang serabut kerana baru sahaja lepas putus cinta dengan bekas kekasih beliau, Maznah. Sedang asyik Rostam melayan perasaan dengan meraung dan menangis teresak-esak, tetiba beliau ditahan oleh seorang polis.

"Encik, mana helmet encik?", tanya polis tersebut.

"Aik? Dalam kawasan perumahan pun kena pakai helmet ke?", balas Rostam dengan kerek sambil membuat muka kerana bengang telah dipotong stim oleh polis tersebut.

"Kena encik, sebab kat atas jalan ada garisan putih", jawab polis sambil cuba menahan diri beliau dari melempang Rostam.

"Mintak IC dengan lesen encik", kata polis itu lagi.

"Nak buat apa pulak IC dengan lesen aku? Nak saman?", tanya Rostam lagi dengan nada meminta pelempang.

"Taklah. Nak bagi kat mamak suruh buat roti canai. Nak saman lah gila!", kata polis yang mula merasa berang.

"Ewah. Kau siapa? Suka hati aku lah nak pakai helmet ke tak. Ajal aku bukan diatas helmet. Kat tangan kau pun bukan. Tapi ditangan Tuhan. TUHAN. Faham? Aku pakai helmet ke, tak pakai helmet ke, kalau dah ajal aku nak mati, mati jugak. Faham? Kau faham tak apa aku cakap ni?", balas Rostam dengan yakin yang kata-kata beliau itu sangat benar dan tak akan disaman mahupun dilempang.

Kelihatan muka polis dah semakin merah padam. Telinga beliau sudah mula mengeluarkan asap berkepul-kepul seperti keretapi zaman dahulukala. Akhirnya,

PANG!!

Rostam atau nama sebenarnya Mohd Zaidi bin Salman telah dilempang oleh Tuan Direktor kerana melebih-lebih dalam menokok tambah skrip untuk lakonan beliau.


Nota:
Kalau taknak pakai helmet lepas tu accident meninggal terus tak apa, sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang lain. Tapi kalau tak meninggal, jadi cacat pulak, tu dah menambahkan beban orang lain. Natijahnya, kalau nak cuba bersikap redha, fikirkan lah orang disekeliling dahulu. Kalau berpeluang dan mampu usaha untuk mengelak dan memperbaiki, usaha lah. Jangan terlalu bersikap bongkak dan hanya mahu berserah.


No comments:

Post a Comment

Boleh merapu, boleh meluahkan perasaan. Jangan malu, jangan segan.